Monday, December 22, 2008

Keahlian Ahmad digantung

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Lembaga Disiplin UMNO menggantung keahlian Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin selama dua tahun bermula 17 Disember lalu setelah didapati bersalah melakukan sabotaj terhadap parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pengerusinya, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor pula diberikan amaran setelah didapati bersalah berkempen untuk jawatan parti menggunakan blog.
"Seorang ahli Pergerakan Wanita UMNO Pokok Sena, Halimah Hanafi turut digantung keahlian selama tiga tahun kerana membuat aduan palsu diikuti dua Ahli Jawatankuasa Cawangan UMNO Bahagian Batu, Abdul Kadir Abdul Karim dan Remlah Abd. Rahman yang diberikan amaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Lembaga Disiplin UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun.
Halimah dikenakan tindakan itu kerana membuat aduan palsu adalah kes pertama seumpamanya dikendalikan oleh Lembaga Disiplin UMNO.
Ahmad Rithauddeen berkata, lima yang didapati bersalah adalah sebahagian daripada 18 ahli UMNO yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin bagi menjelaskan aduan terhadap beberapa kesalahan yang dibuat oleh mereka.
Daripada jumlah itu, katanya, 13 orang didapati tidak bersalah.
Beliau juga menjelaskan bahawa sehingga 22 Disember, jumlah aduan rasmi yang diterima adalah 865 kes dan panel penyiasatan telah pun menyiasat 224 kes, belum dimulakan siasatan (93), aduan yang perlu kepada dokumen tambahan (82), aduan kategori tiada tindakan lanjut (133).
Selain itu, katanya, sebanyak 177 aduan tidak berada di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin dan 151 aduan yang telah diterima belum diputuskan untuk siasatan.
Beliau berkata, jumlah tertuduh yang telah dipanggil untuk siasatan ialah 50 orang dan daripada jumlah itu, 23 orang didapati bersalah, 26 orang didapati tidak bersalah manakala seorang masih belum diputuskan lagi.

No comments: